OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baharu terhadap barangan negaranya, sambil menyifatkan langkah itu sebagai satu kesilapan besar yang hanya akan merugikan kedua-dua pihak selepas rundingan perdagangan antara Ottawa dan Washington berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Dalam ucapan kepada rakyat Kanada, Carney berkata kerajaan AS mengemukakan syarat yang sukar diterima sehingga menyebabkan usaha untuk mencapai perjanjian perdagangan baharu menemui jalan buntu.
Beliau turut mengesahkan Kanada akan bertindak balas dengan mengenakan tarif balas ke atas produk AS bermula 8 September ini bagi mempertahankan kepentingan ekonomi negara.
“Kanada tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi pekerja, industri dan ekonomi negara,” katanya.
Kegagalan rundingan itu menamatkan harapan kedua-dua negara untuk mencapai kata sepakat yang mampu mengekalkan hubungan perdagangan rapat yang selama ini menjadi tunjang ekonomi Amerika Utara.
Susulan perkembangan itu, AS mengumumkan tarif baharu sebanyak 50 peratus ke atas beberapa produk Kanada, selain mengekalkan cukai import sedia ada terhadap sektor keluli, aluminium, automotif dan kayu balak.
Antara produk yang terjejas menerusi tarif terbaharu itu ialah barangan tenusu, wain, simen, pakaian dan peralatan hoki.
Menurut Carney, tindakan Washington itu dibuat ketika kedua-dua pihak sepatutnya mencari jalan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi, bukannya mewujudkan halangan perdagangan baharu.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa Kanada mengubah pendiriannya pada saat akhir, sebaliknya menegaskan Ottawa hanya berusaha mendapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan yang dikemukakan AS.
Sementara itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, memaklumkan Washington tidak bercadang menyambung semula rundingan dalam masa terdekat dan mendakwa Kanada turut menyumbang kepada kegagalan perbincangan tersebut.
Perbalahan itu berlaku ketika kedua-dua negara sedang menilai semula Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), yang menjadi asas kepada hubungan perdagangan bernilai trilion dolar antara ketiga-tiga negara.
Beberapa pemimpin wilayah di Kanada tampil menyokong pendirian Carney, termasuk Premier Ontario, Doug Ford, yang menyifatkan tindakan AS sebagai tidak munasabah dan menegaskan Kanada perlu mempertahankan kepentingannya.
Ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre, turut menyelar tarif baharu Washington dan menyifatkannya sebagai langkah yang tidak berasas.
Dalam pada itu, kerajaan wilayah Quebec memberi amaran bahawa tarif terbaharu itu boleh menjejaskan pasaran pekerjaan serta memberi tekanan kepada sektor yang bergantung kepada eksport ke AS.
Penganalisis berpendapat kebuntuan rundingan tersebut berisiko menjejaskan hubungan perdagangan antara dua rakan ekonomi terbesar di Amerika Utara, selain menimbulkan ketidakpastian terhadap masa depan kerjasama di bawah kerangka USMCA.