LOS ANGELES: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menggesa rakyat Amerika mendapatkan vaksin campak sebelum ke luar negara, lapor Xinhua.

Campak sangat mudah berjangkit. Seseorang yang menghidap campak boleh menjangkiti sembilan daripada sepuluh kenalan rapat yang tidak divaksinasi, menurut laporan CDC yang dikeluarkan minggu ini.

Sehingga 8 Jun 2023, sebanyak 16 kes campak telah direkodkan, dengan 88 peratus mempunyai kaitan dengan perjalanan antarabangsa, menurut CDC.

Banyak negara dan destinasi pelancongan popular seperti England mengalami peningkatan wabak campak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut CDC.

Amerika Syarikat telah menyaksikan peningkatan kes campak dalam tempoh lima bulan pertama 2023, dengan 16 kes dilaporkan berbanding tiga pada 2022 dalam tempoh yang sama.

Menurut CDC, kebanyakan kes yang direkodkan membabitkan kanak-kanak yang tidak menerima vaksin campak-beguk-rubella (MMR).

CDC menggesa semua penduduk AS supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai vaksinasi MMR, terutama sebelum melakukan perjalanan antarabangsa.

-- BERNAMA