MENGAPA ayam melintas jalan? Untuk memecah masuk ke Pentagon!

Jenaka itu tular sebentar di media sosial Amerika Syarikat apabila tersebar berita tentang seekor ayam yang ditangkap kerana didapati secara bebas memasuki kawasan yang dikawal ketat di ibu pejabat pertahanan negara yang penuh kawalan keselamatan canggih dan penuh rahsia itu.

Sebuah organisasi kebajikan haiwan, The Animal Welfare League of Arlington, mendedahkan di media sosial tentang insiden cemas di Pentagon berikutan penemuan ayam berkenaan.

Ayam itu telah ‘ditahan’ dan disimpan di tempat khusus oleh seorang petugas.

Chelsea Jones, jurucakap bagi organisasi itu, dalam satu kenyataan di e-mel menyatakan, dia tidak boleh mendedahkan lokasi tepat penemuan ayam itu.

“Kami tidak dibenarkan untuk mendedahkan secara khusus di mana ayam itu dijumpai. Kami hanya boleh memberitahu, ia ditemui di pos pemeriksaan,” ujar Jones.


Masih belum diketahui dari mana ayam itu datang dan bagaimana ia dapat melepasi kawasan dengan kawalan keselamatan ketat seperti Pentagon.

Ayam betina itu, yang memiliki bulu berwarna perang dengan balung merah, dilaporkan ‘comel dan ‘ketakutan’ ketika ditangkap. Begitupun, setelah ditangkap, ia ‘membenarkan’ beberapa orang menyentuh dan membelainya.

Sementara itu, badan kebajikan Animal Welfare League meminta warga maya memberi cadangan nama buat ayam berkenaan, sekali gus menerima pelbagai maklum balas kreatif.

“Ayam yang ditemui di premis ketenteraan, saya cadangkan Kolonel Sanderson,” kata seorang pengguna media sosial.

“Bagaimana pula dengan Chick Cheney, sempena nama bekas Setiausaha Pertahanan dan Naib Presiden,” ujar seorang lagi.

“Hentagon!” kata seorang pengguna yang lain.