SINGAPURA: Seorang remaja yang dirakam menceroboh dan melakukan aksi lompatan jungkir balik (backflip) di kandang badak sumbu Zoo Singapura tahun lalu, didakwa di mahkamah hari ini.

Ralph Wee Yi Kai, 19, dituduh melakukan kesalahan jenayah dan vandalisme, serta dua tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Dia dituduh menceroboh kandang badak sumbu putih di zoo berkenaan kira-kira jam 2.45 petang pada 17 Disember 2020.

Di mahkamah sama, Wee juga dituduh melanggar cermin sisi sebuah kereta Mercedez Benz dan kereta BMW, yang menyebabkan kerugian masing-masing bernilai S$2,792.70 (RM8,655) dan S$1,669.20 (RM5,173), sekitar jam 2.40 pagi pada 1 Sixth Crescent pada 9 Oktober 2020.

Dia juga didakwa memukul panel maklumat di perhentian bas di Sixth Avenue, menyebabkan kerosakan dan kerugian kira-kira S$900 (RM2,789). Mahkamah dimaklumkan masih ada siasatan yang ditangguhkan berkaitan beberapa tuduhan lagi.

Wee diikat jamin S$15,000 (RM46,499) dan akan kembali ke mahkamah bulan depan.

Wee memuat naik rakaman itu ke akaun TikTok miliknya pada Disember lepas.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan jenayah, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan, denda hingga S$1,500 (RM4,649), atau kedua-duanya. Bagi kesalahan melakukan perbuatan nakal, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Sekiranya didapati bersalah melakukan vandalisme, Wee boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga S$2,000 (RM6,199). Dia juga boleh dikenakan sehingga lapan kali sebatan.