CEUTA: Pihak berkuasa di wilayah enklaf Afrika Utara, milik Sepanyol, Ceuta, melancarkan pelan sembilan perkara bagi memperkukuh kawalan kesihatan awam dan alam sekitar susulan kemasukan beramai-ramai migran baru-baru ini, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Pelan itu termasuk meningkatkan pemantauan tuberkulosis, memperluas pemantauan air minuman dan perairan pesisir serta mempergiat kerja pembersihan, pembasmian kuman dan pelupusan sisa. Lebih 100 pekerja tambahan dikerahkan untuk menjalankan tugas sanitasi dan kawalan alam sekitar.
Menteri Kesihatan Sepanyol Monica Garcia dijadual melawat Ceuta pada Ahad bagi menilai kesan kemasukan migran itu terhadap perkhidmatan kesihatan tempatan.
Dalam lawatan itu, beliau dijangka bertemu pegawai kerajaan tempatan dan pusat, wakil perubatan serta pertubuhan sosial, selain melawat sebuah pusat kesihatan dan Hospital Universiti Ceuta.
Lebih 72,000 migran memasuki Ceuta secara tidak teratur dari negara jiran Maghribi pada 30 dan 31 Julai, menurut kerajaan Sepanyol. Kebanyakan mereka kemudiannya kembali ke Maghribi, manakala ribuan lagi masih berada di wilayah itu.
Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan turut diperketat menjelang Sabtu selepas seruan untuk satu lagi kemasukan beramai-ramai tersebar di media sosial.
Pasukan keselamatan Maghribi memintas ratusan migran yang cuba menuju ke kawasan sempadan, manakala Ceuta tidak melaporkan kemasukan pada skala seperti yang berlaku pada akhir Julai.
-- BERNAMA-XINHUA