IPOH: Polis telah mengambil keterangan 41 saksi berhubung kematian pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, setakat ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, daripada bilangan itu, 29 merupakan pelajar sekolah, sembilan guru, dua ahli keluarga dan seorang anggota polis.
Menurutnya, walaupun tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada pihak sekolah tidak menunjukkan unsur jenayah atau kejadian buli, siasatan masih diteruskan.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut serta tidak menolak sebarang kemungkinan.
Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Pada Khamis, Mohd Alwi berkata jerutan pada leher disahkan sebagai punca kematian pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar yang meninggal dunia pada Rabu.
Menurutnya, dapatan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping.
Sehubungan itu, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).