INTERNATIONAL
China bakal lancar misi angkasa lepas minggu ini

Kapal angkasa Shenzhou-19 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan untuk misi kru ke stesen angkasa lepas Tiangong China, berhampiran Jiuquan. - Gambar Reuters
BEIJING: China dijangka melancarkan satu lagi misi angkasa lepas dalam minggu ini, selaras dengan langkah berterusan Beijing ke arah mencapai matlamat menghantar angkasawan ke Bulan.
Misi Shenzhou-20 dijadual berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, membawa tiga orang angkasawan ke stesen angkasa buatan negara itu sendiri, Tiangong, bagi menjalani misi selama kira-kira enam bulan.
Pasukan itu akan melaksanakan pelbagai eksperimen bagi menyokong matlamat besar program angkasa China termasuk menghantar angkasawan ke Bulan menjelang 2030 dan seterusnya membina pangkalan di permukaan bulan.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA) minggu lalu, kapal angkasa Shenzhou dan roket pelancar Long March-2F telah dipindahkan ke tapak pelancaran dan pelancaran akan dilakukan "pada masa yang sesuai dalam masa terdekat."Foto yang disiarkan agensi berita rasmi Xinhua menunjukkan roket putih berkilat itu berada di atas pelantar biru yang dihiasi bendera kebangsaan, menghala ke langit, diiringi kain rentang merah dan emas yang memuji kejayaan program angkasa negara itu.
“Pada masa ini, kemudahan dan peralatan di tapak pelancaran berada dalam keadaan baik. Pemeriksaan fungsi dan ujian bersama akan dijalankan mengikut perancangan,” kata CMSA.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mendedahkan identiti kru Shenzhou-20 atau butiran kerja yang akan dilaksanakan mereka sepanjang misi.
Namun, menurut laporan stesen penyiaran CCTV pada Ahad (20 April), kakitangan pusat latihan angkasawan negara itu, Zhou Wenxing berkata, kru misi berada dalam keadaan baik, operasi mereka tepat dan koordinasi berjalan lancar.
Misi sebelumnya, Shenzhou-19, dilancarkan pada Oktober lalu dan dijangka tamat pada 29 April ini.
Ia diketuai Cai Xuzhe, bekas juruterbang tentera udara berusia 48 tahun yang pernah menyertai misi Shenzhou-14 ke stesen Tiangong pada 2022.
Turut menyertai ialah Wang Haoze, 35, jurutera penerbangan angkasa wanita tunggal China pada masa ini dan merupakan wanita ketiga China yang pernah menyertai misi ke angkasa lepas berawak.
Seorang lagi kru ialah Song Lingdong, 34.
Kru Shenzhou-19 telah menjalankan ujian untuk menilai bagaimana radiasi melampau, graviti, suhu dan faktor lain memberi kesan kepada ‘bata’ yang diperbuat daripada bahan tiruan tanah bulan, menurut laporan ketika pelancaran.
Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, China terus mempercepatkan pelaksanaan apa yang digelar sebagai “impian angkasa” negara itu.
China menjadi negara ketiga yang berjaya menghantar manusia ke orbit dan telah mendaratkan robot peneroka di Marikh serta di Bulan.
Permata utama program angkasa itu ialah Tiangong, stesen angkasa yang dihuni pasukan tiga angkasawan secara bergilir setiap enam bulan.
Beijing menyatakan pihaknya berada di landasan yang tepat untuk menghantar misi berawak ke Bulan menjelang 2030.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, China telah melabur berbilion dolar untuk membina program angkasa yang mampu menyaingi Amerika Syarikat dan Eropah.
Pada 2019, probe Chang’e-4 berjaya mendarat di bahagian jauh Bulan - pencapaian pertama dalam sejarah.
Sementara pada 2021, robot kecil negara itu pula berjaya mendarat di Marikh.
Stesen Tiangong, yang modul terasnya Tianhe dilancarkan pada 2021, dijangka akan digunakan sekurang-kurangnya selama 10 tahun. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami