WASHINGTON: Pegawai pertahanan AS dan China bertemu di Pentagon untuk membincangkan Ringkasan Strategi Siber 2023 yang baru dikemas kini, menurut Jabatan Pertahanan dalam satu kenyataan media, lapor Sputnik.

"Pegawai pertahanan AS mengadakan pertemuan secara peribadi dan maya hari ini dengan pegawai pertahanan Republik Rakyat China (PRC) atas jemputan Jabatan Pertahanan untuk membincangkan Ringkasan Strategi Siber yang dikeluarkan baru-baru ini, selaras dengan Memorandum Persefahaman AS-PRC 2014 mengenai 'Pemberitahuan Mekanisme Membina Keyakinan Aktiviti Ketenteraan Utama,'menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Pada 2014 AS dan China menandatangani mekanisme untuk mengesahkan semula komitmen kedua-dua negara untuk membangunkan model baharu hubungan tentera AS-China, sebahagian daripada hubungan dua hala mereka, tambah kenyataan itu.

Selain itu, strategi tersebut menggariskan komitmen Pentagon untuk melabur dan menjamin perlindungan, kebolehcapaian, kebolehpercayaan dan keteguhan rangkaian dan infrastruktur sibernya.Delegasi AS terdiri daripada wakil dari Pejabat Setiausaha Pertahanan dan Ketua Turus Bersama, manakala delegasi China termasuk pegawai dari Pejabat Atase Pertahanan Kedutaan China di Washington dan

Pejabat Suruhanjaya Tentera Pusat untuk Kerjasama Tentera Antarabangsa ( OIMC), menurut kenyataan itu.

Selepas taklimat itu, kedua-dua pihak terlibat dalam perbincangan mengenai pelbagai isu berkaitan siber, tambah kenyataan itu.

--BERNAMA-SPUTNIK