Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Indonesia sasar kerjasama lebih erat dalam pembangunan luar bandar

JAKARTA, 17 Sept - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia Yandri Susanto (kanan) di sini hari ini. MoU itu merangkumi lapan bidang kerjasama termasuk pembangunan kapasiti dalam pengurusan desa bagi pegawai kerajaan dan komuniti luar bandar; pendigitalan menerusi promosi konsep desa pintar yang inklusif; serta keusahawanan luar band
Ahmad Zahid (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia Yandri Susanto (kanan) di Jakarta pada Khamis. - Foto BERNAMA
Advertisement

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia menyasarkan kerjasama lebih erat dalam pembangunan luar bandar menerusi perkongsian pengalaman dan amalan terbaik bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua negara mempunyai pengalaman dan pendekatan tersendiri dalam pembangunan luar bandar yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan bersama-sama.

“Malaysia juga harus belajar daripada Indonesia untuk memajukan daerah-daerah tertinggal kerana komitmen daripada pemerintah Indonesia ini luar biasa untuk membantu rakyat di perdesaan,” katanya dalam ucapan sebelum menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Indonesia Yandri Susanto.

MoU itu merangkumi lapan bidang kerjasama termasuk pembangunan kapasiti dalam pengurusan desa bagi pegawai kerajaan dan komuniti luar bandar; pendigitalan menerusi promosi konsep desa pintar yang inklusif; serta keusahawanan luar bandar dan pembangunan perusahaan desa bagi meningkatkan kapasiti serta potensi komersial usahawan luar bandar dan koperasi.

Kerjasama itu turut meliputi ekopelancongan dan agropelancongan dengan memanfaatkan warisan budaya bersama serta biodiversiti semula jadi; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk belia luar bandar; serta pembasmian kemiskinan melalui perkongsian amalan terbaik dan pembangunan program bersama.

Turut dipersetujui, program Sister Village melibatkan pertukaran amalan terbaik, budaya dan peluang ekonomi, selain bidang kerjasama berkaitan pembangunan luar bandar yang dipersetujui kedua-dua negara dari semasa ke semasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Indonesia mempunyai kira-kira 75,000 desa berbanding 15,750 kampung di Malaysia serta menekankan pembangunan luar bandar perlu merangkumi e-dagang selain pendidikan, infrastruktur dan komunikasi termasuk 4G dan 5G.

“Teknologi itu harus dibawa ke perdesaan, ilmu itu juga harus dibawa ke perdesaan kerana mereka juga harus diberikan keadilan untuk menikmati kesejahteraan keseluruhan rakyat yang lain,” katanya yang turut mengundang Yandri berkunjung ke Malaysia bagi melihat sendiri pelaksanaan pembangunan luar bandar negara.

Sementara itu, Yandri berkata pelaksanaan MoU itu akan disusuli pembentukan kumpulan kerja, dengan pertemuan dirancang sekurang-kurangnya sekali setahun termasuk dalam bentuk kumpulan perbincangan berfokus (FGD) atau seminar bagi membolehkan kedua-dua negara bertukar pengalaman.

Beliau berkata kerjasama itu diyakini akan memberi nilai positif kepada kedua-dua negara dan mengeratkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia menerusi kerjasama yang saling menguntungkan.

“Kami  juga berbesar hati untuk mencontohi apa yang sudah dilakukan Malaysia terhadap desa-desanya, dan kami juga akan memberikan pengalaman kepada Malaysia bila diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement