Skip to main content

Malaysia

PRU16: Anwar pamer politik matang, bijak tidak layan desakan UMNO - Peguam

FOTO SHAHIR
Dalam tempoh berbaki ini adalah mustahak untuk Anwar menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan seperti penggubalan akta mengehadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menghiraukan gesaan Perhimpunan Agung UMNO bagi memohon pembubaran Dewan Rakyat adalah satu langkah yang bijak dan matang.

Peguambela dan Peguamcara, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, penggal Dewan Rakyat masih lagi mempunyai masa setahun lebih sebelum terbubar secara automatik pada bulan November 2027.

Ini bermakna, jelasnya, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh berlangsung selewat-lewatnya Februari 2028.

"Dalam tempoh berbaki ini adalah mustahak untuk Anwar menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan seperti penggubalan akta mengehadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

"Selain itu, adalah mustahak juga bagi Anwar membetulkan tatakelola di agensi berkaitan kerajaan seperti Tabung Haji dan Felda dan mengembalikan institusi ini ke landasan yang betul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zulqarnain berkata, besar kemungkinan untuk tujuan membetulkan tatakelola, pindaan kepada Akta Tabung Haji dan Felda juga perlu dibuat.

"Begitu juga dengan institusi lain yang berkaitan dengan bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan universiti awam khususnya UiTM juga perlu direformasi untuk memastikan tujuan sebenar penubuhan institusi ini tercapai.

"Jika Dewan Rakyat dibubarkan sekarang dikhuatiri mana-mana Perdana Menteri lain tidak mempunyai keberanian seperti Anwar untuk melaksanakan reformasi tersebut.

"Tambahan lagi, BN-UMNO tidak mampu untuk menekan Perdana Menteri bagi pembubaran awal sekiranya parti gabungan Sabah dan Sarawak berdiri teguh di belakang Perdana Menteri," ujarnya.

Pada masa sama, kata Zulqarnain, BN-UMNO sekarang ini kelihatan sudah cukup yakin dan bongkak mendabik dada untuk memenangi PRU16 tanpa PH setelah mereka memenangi PRU Johor dan Negeri Sembilan.

Meskipun begitu, ujarnya, dalam tempoh berbaki ini memberikan peluang kepada Anwar untuk mengembalikan keyakinan kepada semua rakyat bahawa beliau sudah berbuat sehabis baik untuk kebaikan rakyat.

"Dalam pada itu, adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyemak kembali sistem komunikasi kerajaan supaya segala pencapaian kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement