NEW YORK: China menggesa semua pihak yang terlibat dalam krisis Ukraine supaya bertenang dan berusaha meredakan ketegangan serta mencapai gencatan senjata secepat mungkin.
Gesaan itu dibuat Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sun Lei ketika berucap pada sesi perbahasan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu Ukraine pada Khamis.
Sun menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terkini krisis Ukraine sambil menggesa supaya serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam dihentikan serta-merta.
Beliau turut menyeru semua pihak yang terlibat supaya menunjukkan komitmen politik, menyambung semula rundingan secepat mungkin serta berusaha mencapai perjanjian damai yang menyeluruh, berkekalan dan mengikat.
Menurut beliau, China kekal berpegang kepada pendirian yang objektif dan adil berhubung isu Ukraine serta bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memainkan peranan konstruktif dalam menggalakkan penyelesaian krisis menerusi saluran politik.
-- BERNAMA-CMG