CHINA akan menggubal dasar untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara itu, kata Presiden Xi Jinping.

Ia susulan kebimbangan dalam kalangan penggubal dasar berhubung penurunan ketara jumlah populasi negara itu yang berpotensi menjejaskan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Kita akan mewujudkan sistem dasar untuk meningkatkan kadar kelahiran dan meneruskan strategi nasional yang proaktif sebagai tindak balas kepada penduduk yang menua," katanya kepada kira-kira 2,300 perwakilan dalam ucapan perasmian Kongres Parti Komunis ke-20 di Beijing pada Ahad.

Walaupun China mempunyai 1.4 bilion penduduk yang juga merupakan populasi paling ramai di dunia, kadar kelahirannya dijangka jatuh ke paras terendah tahun ini.

Ahli demografi berkata kadar kelahiran menurun ke 10.6 juta bayi tahun lepas, penurunan 11.5 peratus daripada 2020.

Pihak berkuasa mengenakan dasar satu anak dari 1980 hingga 2015, kemudian bertukar kepada dasar tiga anak, namun mengakui negara itu berada di ambang kemerosotan demografi.

Kadar kesuburan sebanyak 1.16 pada tahun 2021 adalah di bawah standard 2.1 OECD bagi populasi yang stabil dan antara yang terendah di dunia.

Sepanjang tahun lalu, pihak berkuasa telah memperkenalkan langkah seperti pemotongan cukai, cuti bersalin yang lebih lama, insurans perubatan yang dipertingkatkan, subsidi perumahan, wang tambahan untuk anak ketiga dan tindakan keras terhadap khidmat tutor swasta yang mahal.

Namun, keinginan dalam kalangan wanita China untuk mempunyai anak adalah yang paling rendah di dunia, menurut tinjauan yang diterbitkan pada Februari oleh badan pemikir YuWa Population Research.

Ahli demografi menegaskan langkah yang diambil setakat ini tidak mencukupi.

Mereka menyebut kos pendidikan tinggi, gaji rendah dan waktu kerja yang lama sebagai isu yang masih perlu ditangani, selain dasar COVID-19 dan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi.