PUTRAJAYA: Dalam usaha menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara yang terus merosot sejak lima dekad, Pusat Subfertiliti Negara yang pertama akan dibina di Shah Alam, Selangor tahun hadapan melibatkan peruntukan RM171 juta yang dijangka beroperasi pada 2029.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pusat itu menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran di Malaysia.

Beliau berkata perkhidmatan rawatan subfertiliti ketika ini yang ditawarkan di klinik subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dilihat tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) di sini hari ini, Nancy berkata pusat baharu itu akan diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar memberi kesan dalam meningkatkan kadar kesuburan penduduk negara.

"Jika kadar kesuburan terus menurun dengan kadar semasa dan tiada intervensi diambil bagi menangani situasi ini, penduduk negara dijangka mencapai jumlah maksimum sebanyak 46 juta orang pada 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk pada tahun berikutnya," katanya.

Nancy berkata pembinaan pusat itu yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bertepatan memandangkan penurunan kadar kesuburan yang membimbangkan iaitu daripada 6.7 orang anak bagi setiap wanita pada 1957 kepada hanya 1.6 orang anak bagi setiap wanita pada 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan.

"Penurunan kadar kesuburan sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk yang dijangka Malaysia akan menjadi 'negara tua' pada 2044, iaitu apabila 15 peratus daripada keseluruhan penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas," katanya.

Ketika ditanya faktor utama penurunan kadar kesuburan, Nancy berkata perkahwinan lambat bukanlah sebabnya tetapi pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan itu antaranya kesan ekonomi, wanita yang bercita-cita tinggi dan berkerjaya, cerewet dengan pilihan pasangan, malah ada yang memilih untuk membantu dan menjaga ahli keluarga.

Pada persidangan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara LPPKN dengan MERCK Malaysia, syarikat sains dan teknologi yang mendapat ruang untuk berkongsi kepakaran serta teknologi dengan LPPKN khususnya berkaitan bidang kesuburan, perancangan keluarga dan subfertiliti.

Mengenai PERKKS 2023, Nancy berkata sesi khas perbincangan meja bulat diadakan bagi menghasilkan resolusi yang mengandungi cadangan dasar dan langkah intervensi untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara dan kesemua cadangan yang terkandung dalam resolusi itu akan menjadi pelengkap kepada inisiatif intervensi yang sedang dirancang KPWKM melalui LPPKN.

-- BERNAMA