awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
SpaceX pertimbang bergabung dengan Tesla - Laporan
Petronas mahu kekalkan pengeluaran domestik dua juta tong minyak sehari dalam tiga tahun akan datang
Trump dakwa Putin setuju henti serangan ke atas Kyiv selama seminggu ketika cuaca terlalu ekstrem
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

China longgarkan syarat kemasukan, warga UK dibenar lawat tanpa visa hingga 30 hari

Agensi
Agensi
29/01/2026
22:30 MYT
China longgarkan syarat kemasukan, warga UK dibenar lawat tanpa visa hingga 30 hari
Keir Starmer (kiri) berjabat tangan dengan Xi Jinping sebelum memulakan mesyuarat dua hala di Beijing, China, pada Khamis. - Gambar Reuters
BEIJING: China bersetuju untuk membenarkan warga Britain memasuki negara itu tanpa visa untuk tempoh sehingga 30 hari, menurut pengumuman Downing Street susulan pertemuan antara Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer dan Presiden Xi Jinping di Beijing.

Ringkasan AI
  • China bersetuju membenarkan warga Britain masuk tanpa visa selama 30 hari, setelah pertemuan antara PM UK dan Presiden China, bertujuan memperkukuh hubungan dagangan.
  • Perjanjian turut merangkumi pengurangan cukai import wiski UK dari 10% kepada 5%, manfaatkan ratusan ribu pelancong dan ahli perniagaan.
  • Kedua-dua negara akan meneroka perjanjian perkhidmatan untuk syarikat UK di China, termasuk AstraZeneca yang melabur AS$15 bilion hingga 2030.

Lawatan itu menandakan kunjungan pertama seorang pemimpin Britain ke China dalam tempoh lapan tahun.
Selain kelonggaran visa, kedua-dua negara turut mencapai persetujuan untuk mengurangkan cukai import ke atas wiski UK daripada 10 peratus kepada 5 peratus, sebagai usaha memperkukuh hubungan dagangan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Setakat ini, belum ada tarikh rasmi bagi pelaksanaan dasar tanpa visa tersebut, namun kerajaan UK menyatakan harapan ia dapat berkuat kuasa dalam masa terdekat.
Sekitar 620,000 warga Britain melakukan perjalanan ke China pada 2024, menurut Pejabat Statistik Kebangsaan UK dan langkah baharu ini dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu pelancong serta ahli perniagaan.
Downing Street berkata, langkah itu akan menyelaraskan UK dengan sekitar 50 negara lain yang sudah diberi pengecualian visa oleh China – termasuk Perancis, Jerman, Itali, Australia dan Jepun.
Keir menyifatkan kelonggaran itu akan memudahkan syarikat-syarikat UK mengembangkan operasi di China di samping memberi peluang rakyat melancong tanpa halangan visa.
Kedua-dua negara turut bersetuju meneroka potensi rundingan perjanjian perkhidmatan yang akan menyediakan peraturan jelas dan mengikat secara undang-undang kepada firma UK yang menjalankan perniagaan di China.
Sebagai pengeksport perkhidmatan kedua terbesar dunia - merangkumi kewangan, kesihatan dan perundangan - permintaan dari China dalam sektor ini semakin meningkat.
Perjanjian tersebut, jika dimuktamadkan, akan membuka akses lebih luas kepada syarikat UK, termasuk pengiktirafan kelayakan profesional Britain di China.
Syarikat farmaseutikal, AstraZeneca turut mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di China sehingga 2030, termasuk pembinaan tapak pembuatan baharu dan pengembangan tenaga kerja.
Dalam pertemuan selama lebih sejam di Great Hall of the People, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama menangani migrasi haram.
UK dan China menandatangani perjanjian untuk membolehkan agensi penguatkuasaan kedua-dua negara bekerjasama mengganggu bekalan enjin dan peralatan bot kecil yang digunakan sindiket penyeludupan untuk membawa migran merentas Selat Inggeris.
Lebih 60 peratus enjin bot yang digunakan sindiket penyeludupan pada tahun lalu dikenal pasti sebagai buatan China.
Perjanjian itu adalah sebahagian daripada 10 memorandum persefahaman yang ditandatangani merangkumi bidang eksport, pendidikan dan keselamatan makanan.
Keir turut mengemukakan beberapa isu kontroversi – termasuk pemenjaraan aktivis pro-demokrasi, Jimmy Lai serta layanan terhadap etnik Uyghur di Xinjiang.
Beliau menegaskan, perbincangan terbuka mengenai isu yang dipersetujui mahupun yang tidak dipersetujui adalah penting dalam hubungan dua hala.
Bagaimanapun, lawatan \Keir menerima kritikan daripada pembangkang di UK.
Setiausaha Dalam Negeri bayangan Parti Konservatif, Chris Philp menuduh Perdana Menteri “merendah diri demi kepentingan ekonomi” dan “menggadaikan keselamatan negara.”
Beliau turut mengecam perjanjian bot kecil sebagai “gimik” yang tidak akan memberi kesan ketara.
Di awal pertemuan, Keir menekankan keperluan hubungan lebih matang dengan China, sambil menyatakan bahawa peristiwa global memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Britain, termasuk harga barangan dan tahap keselamatan.
Presiden Xi pula berkata, hubungan UK–China telah melalui “liku-liku” yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak, namun menekankan dialog adalah penting dalam dunia “tidak stabil dan berubah-ubah.”
Sebagai simbolik pertemuan, Keir menyerahkan Xi sebiji bola yang digunakan dalam perlawanan Liga Perdana antara Manchester United dan Arsenal minggu lalu - selari dengan minat kedua-dua pemimpin terhadap kelab Liga Perdana Inggeris (EPL). - Agensi
Topic Berkaitan
#UK-China
#lawat tanpa visa
#Keir Starmer
#Xi Jinping
#warga UK
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan