Skip to main content

Dunia

China mampu main peranan penting tamatkan situasi antara AS, Iran

Mohammad Bagher Qalibaf,  Speaker Parlimen Iran. - Foto AP
Mohammad Bagher Qalibaf, Speaker Parlimen Iran. - Foto AP
Advertisement

ISTANBUL: China mampu memainkan peranan penting dalam menamatkan perang dan menyelesaikan situasi yang sedang dihadapi Iran dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi yang memetik Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf pada Selasa.

Dalam artikel yang disiarkan menerusi laman sesawang Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei, Qalibaf yang juga wakil khas Iran bagi hal ehwal China dan mengetuai delegasi rundingan Tehran dengan AS, menekankan potensi peranan Beijing dalam diplomasi serantau.

"Peranan China dalam menamatkan perang dan situasi 'bukan perang, bukan damai' amat penting," katanya.

Advertisement

Qalibaf berkata hubungan China dengan Iran dan negara-negara Arab, selain inisiatif diplomatik Beijing membuka peluang untuk memperkukuh kestabilan serta membantu membentuk aturan serantau baharu.

Beliau berkata Pemimpin Tertinggi Iran telah mengeluarkan arahan terperinci berhubung hubungan dengan China, dengan menekankan keutamaan tertentu dan bukannya sekadar memberikan saranan umum.

Advertisement

Qalibaf turut mengumumkan rancangan menubuhkan sebuah badan penyelarasan dan pemantauan peringkat tinggi bagi menyelaras serta memantau pelaksanaan kerjasama dengan Beijing.

Menurut beliau, badan itu akan memberi tumpuan kepada penyelarasan strategik, penetapan keutamaan, mempercepat proses membuat keputusan serta tindakan susulan terhadap isu utama yang merentasi pelbagai sektor, tanpa mengambil alih tanggungjawab institusi kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan China perlu melangkaui perjanjian bersifat simbolik dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan projek konkrit di bawah perjanjian kerjasama komprehensif selama 25 tahun antara kedua-dua negara.

Kenyataan itu dibuat ketika usaha sedang giat dijalankan untuk menamatkan perang antara Iran dan AS susulan serangan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Feb.

Bagaimanapun, Tehran dan Washington masih berbeza pendirian mengenai syarat bagi mencapai penyelesaian berkekalan termasuk pelonggaran sekatan, jaminan keselamatan serta pengaturan berkaitan Selat Hormuz.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement