Skip to main content

Malaysia

Tragedi kepala air Sungai Pertak: SAR tiga lelaki hilang diteruskan, tumpu dua lokasi

Operasi SAR tiga lagi mangsa yang hilang dalam insiden kepala air di Lata Jebus, Air Terjun Sungai Pertak di Kampung Pertak di sini, diteruskan hingga ke Empangan Sungai Selangor. - Foto BERNAMA
Operasi SAR tiga lagi mangsa yang hilang dalam insiden kepala air di Lata Jebus, Air Terjun Sungai Pertak di Kampung Pertak di sini, diteruskan hingga ke Empangan Sungai Selangor. - Foto BERNAMA
Advertisement

HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki warga asing yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu di sini diteruskan pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata operasi pencarian tertumpu di kawasan Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

"Operasi SAR tidak ditangguhkan malam tadi sebaliknya kita meneruskan pencarian mangsa di permukaan. Pasukan penyelam juga sudah memulakan operasi seawal 7 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Advertisement

Beliau berkata operasi pencarian turut menggunakan bot selain membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Ashrul Riezal berkata setakat 8 pagi ini, tiga lelaki yang masih belum ditemukan itu adalah warga Yaman dan dua warga India, manakala jumlah mangsa yang ditemukan kekal lima orang.

Advertisement

Media sebelum ini melaporkan lima daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus dalam kejadian kira-kira 5.30 petang pada Isnin lepas ditemukan lemas manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa pertama, V. Vijayan, 36, warga tempatan, ditemukan pada 1.30 pagi semalam di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa ditemukan pada pagi hari sama, dengan tiga daripadanya dijumpai pada 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus, manakala seorang lagi ditemukan pada 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.

Dua daripada mangsa berkenaan dikenal pasti sebagai Kapali, 49, warga Nepal dan Kunjanmalayil Bhaskaran, 35, warga India, manakala dua lagi ialah lelaki warga India dan Sri Lanka.

Semua mayat mangsa tersebut dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Dalam kejadian itu, 34 individu daripada empat kumpulan terlibat, dengan lapan lelaki dihanyutkan arus, manakala 26 lagi berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan anggota bomba.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement