Skip to main content

Malaysia

Banjir Hilir Perak: Calon SPM berdepan cabaran ulang kaji di PPS

- Foto BERNAMA
- Foto BERNAMA
Advertisement

TELUK INTAN: Berdepan ketidakselesaan mengulang kaji pelajaran di pusat pemindahan dementara (PPS) susulan banjir melanda daerah Hilir Perak, nyata meresahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan itu ketika ini.

Muhamad Alif Danish Abdul Rahim, 17, mengharapkan banjir segera pulih, bagi membolehkan dia membuat persiapan akhir peperiksaan dalam keadaan yang lebih selesa di kediamannya di Kampung Batu 8, Jalan Changkat Jong, di sini.

Beliau berkata persekitaran serta suasana di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap sedikit sebanyak memberi cabaran buatnya, mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan yang akan bermula pada 23 Nov.

Advertisement

“Di rumah memang lebih selesa dapat fokus mengulang kaji sejam dua sehari. Di PPS ini suasananya agak ramai dan bising sikit, jadi tumpuan itu sedikit terbatas tetapi saya cuba buat mana yang mampu.

“Saya juga bersyukur kerana guru ada membekalkan dan berkongsi nota-nota penting secara  dalam talian bagi memudahkan saya mengulang kaji pelajaran di sini,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib ketika ditemui Bernama di PPS MPTI Langkap, di sini, hari ini.

Advertisement

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata beliau tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya berharap dapat memberikan yang terbaik demi melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Untuk SPM ini saya mengambil tujuh mata pelajaran dan berharap dapat meraih keputusan yang baik dalam ke semua subjek itu. Saya mahu lulus dan melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET, yang menjadi cita-cita selama ini,” katanya.

Sementara itu, ibunya Jamilah Abdul Syukor, 49, berkata Muhamad Alif mungkin berdepan situasi sama seperti anak keempatnya (perempuan), yang pernah menduduki peperiksaan SPM ketika keluarga mereka ditempatkan di PPS sama, tahun lepas.

“Jika banjir tidak surut dalam jangka masa dua minggu ini, bermakna Muhamad Alif terpaksa belajar dan mengulang kaji pelajaran di PPS ini sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata kejadian banjir kali ini merupakan antara yang terburuk pernah dialami mereka sepanjang 17 tahun menetap di kampung berkenaan.

Beliau berkata air mula memasuki kawasan kediamannya sekitar jam 10 pagi Jumaat lepas, sebelum meningkat dengan pantas hingga ke paras lutut beberapa jam kemudian, sekali gus memaksa mereka sekeluarga berpindah demi keselamatan.

“Saya bersama dengan suami serta lima anak berada di rumah ketika kejadian berlaku. Apabila menyedari air mula naik dengan cepat, kami segera membuat persiapan awal dengan mengemas serta menyelamatkan barangan berharga di tempat yang lebih tinggi dan selamat.

“Selepas itu, baru kami menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk bantuan, sebelum dibawa keluar dan ditempatkan di PPS ini sekitar jam 1.30 petang,” katanya.

Setakat 8 pagi tadi jumlah banjir di Perak meningkat kembali kepada 380 orang melibatkan 108 mangsa, berbanding 348 orang daripada 99 keluarga petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan di daerah Hilir Perak jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) meningkat kepada 257 orang, melibatkan 73 keluarga akibat paras air kembali naik di kawasan kediaman mereka susulan hujan berterusan, petang semalam.

Sementara itu, mangsa yang berlindung di PPS Dewan MPTI Langkap juga meningkat sedikit kepada 123 orang daripada 35 keluarga.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement