Skip to main content

Malaysia

PTPTN tawar khidmat rundingan, bantu peminjam selesai tunggakan

PTPTN memaklumkan inisiatif yang berlangsung mulai 1 Nov hingga 15 Dis itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan khidmat nasihat serta menyusun komitmen bayaran balik pinjaman. - Gambar hiasan/Bernama
PTPTN memaklumkan inisiatif yang berlangsung mulai 1 Nov hingga 15 Dis itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan khidmat nasihat serta menyusun komitmen bayaran balik pinjaman. - Gambar hiasan/Bernama

Ringkasan AI

  • PTPTN menganjurkan Bulan Mesra Peminjam (BMP) 2026 dari 1 November hingga 15 Disember untuk menawarkan rundingan dan penstrukturan semula pinjaman.
  • Peminjam dengan tunggakan digalakkan berunding untuk memilih kaedah bayaran balik sesuai, termasuk bayaran serendah 20 peratus atau RM1,000 daripada tunggakan.
  • Waktu operasi kaunter PTPTN dilanjutkan di seluruh negara, dengan pelbagai saluran perkhidmatan disediakan untuk memudahkan urusan peminjam.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan khidmat rundingan serta kemudahan penstrukturan semula pinjaman kepada peminjam menerusi penganjuran Bulan Mesra Peminjam (BMP) PTPTN 2026.

Dalam kenyataan hari ini, PTPTN memaklumkan inisiatif yang berlangsung mulai 1 Nov hingga 15 Dis itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan khidmat nasihat serta menyusun komitmen bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Menerusi program itu, peminjam khususnya mereka yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman digalakkan tampil berunding dengan PTPTN bersempena dengan Kempen Lestari Pendidikan bagi mengenal pasti kaedah bayaran balik yang bersesuaian.

Advertisement

“PTPTN turut menawarkan bayaran serendah 20 peratus atau RM1,000 daripada keseluruhan tunggakan, mengikut jumlah yang lebih tinggi bagi tujuan penstrukturan semula pinjaman atau penggabungan pinjaman dan pertukaran Ujrah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bermula 1 hingga 15 Dis ini, waktu operasi kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan turut dilanjutkan dari 8.30 pagi hingga 6 petang melibatkan kaunter di semua negeri kecuali Terengganu, Kedah, Kelantan dan Sabah yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis.

Advertisement

Selain itu, kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan terpilih turut dibuka pada 5 dan 12 Dis dari 9 pagi hingga 5 petang.

PTPTN turut melaksanakan inisiatif #PTPTNSediaBantu dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan bagi memudahkan peminjam berurusan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

“PTPTN menyeru semua peminjam agar memanfaatkan peluang sepanjang BMP 2026.

“Komitmen membayar balik pinjaman bukan sekadar melunaskan tanggungjawab, malah merupakan tanggungjawab bermakna dalam memastikan kesinambungan pembiayaan pendidikan tinggi demi manfaat generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut peminjam boleh melayari portal rasmi perbadanan itu di www.ptptn.gov.my.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement