Skip to main content

Malaysia

Kemalangan: Anggota polis maut, 10 cedera termasuk empat parah di Tapah

Siasatan awal mendapati van jenis Maxus yang dipandu seorang anggota polis bersama 10 penumpang sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka. - Foto Astro AWANI
Siasatan awal mendapati van jenis Maxus yang dipandu seorang anggota polis bersama 10 penumpang sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka. - Foto Astro AWANI
Advertisement

TAPAH: Seorang anggota polis maut, manakala empat lagi parah selepas van polis dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam kira-kira jam 11.35 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati van jenis Maxus yang dipandu seorang anggota polis bersama 10 penumpang sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka. 

Advertisement

“Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri van tersebut dipercayai pecah secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, beberapa orang penumpang telah tercampak keluar dari kenderaan.

Advertisement

“Seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Enam lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Tapah,” ujarnya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-3256140.
 

Must Watch Video

Advertisement