RAMALLAH: China pada Rabu menyerahkan bantuan vaksin COVID-19 kumpulan ketiga sumbangan China kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bagi kegunaan pelarian Palestin di wilayah Lubnan.

Ketua Pejabat Perwakilan China di Palestin, Guo Wei menyifatkan bantuan tersebut sebagai langkah pragmatik dalam pelaksanaan inisiatif kerjasama vaksin global yang dikemukakan China.

Menurut beliau, China akan terus menyokong usaha UNRWA dan memberikan bantuan yang praktikal kepada pelarian Palestin.

UNRWA dalam kenyataannya turut menzahirkan penghargaan kepada China dan menyatakan sumbangan itu bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pelarian Palestin, malah dapat merealisasikan keadilan dalam pengagihan vaksin.

Untuk rekod, sejak tercetusnya wabak COVID-19, China telah menyumbang USD2 juta (RM8.37 juta) kepada UNRWA, di samping memberi bantuan barangan melawan wabak kepada agensi perubatan di Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria serta menyediakan "kit kesihatan" kepada pelarian Palestin di luar wilayah negara itu.

Setakat ini, China juga telah menyediakan 200,000 dos vaksin COVID-19 kepada pelarian Palestin di luar wilayah negara itu dan kesemua vaksin itu telah dihantar ke Jordan, Syria dan Lubnan.

-- BERNAMA