NASHVILLE: Banduan hukuman mati Amerika Syarikat (AS), Christa Pike, dilaporkan kembali sedar dan mampu bercakap selepas terselamat daripada cubaan pelaksanaan hukuman mati yang gagal di Tennessee minggu lalu, menurut peguamnya.
Dalam kenyataan pada Selasa, peguam Pike berkata wanita berusia 50 tahun itu masih menerima rawatan rapi di hospital dan berada dalam keadaan digari ketika menjalani rawatan.
Pike sebelum ini dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan kesalahan membunuh Colleen Slemmer pada 1995.
Minggu lalu, beliau terselamat selepas menerima dua suntikan maut pentobarbital sebelum dipindahkan ke sebuah hospital di Nashville untuk rawatan lanjut.
Ketika itu, Pike dilaporkan tidak sedarkan diri sementara kakitangan perubatan berusaha menyingkirkan ubat berkenaan daripada sistem badannya.
Peguamnya menyifatkan proses pemulihan Pike sebagai sesuatu yang “belum pernah berlaku dalam sejarah perubatan”, namun menegaskan keadaan kesihatannya masih belum stabil.
“Sekurang-kurangnya kami menjangkakan tempoh pemulihan yang panjang,” menurut kenyataan mereka.
Peguam itu turut mendakwa Pike merupakan satu-satunya individu yang diketahui terselamat selepas menjalani prosedur pelaksanaan hukuman mati yang lengkap di AS.
Pakar kriminologi dan profesor Undang-undang di Fordham Law School, Deborah Denno, berkata beliau “amat terkejut” apabila mengetahui Pike sedar dan boleh bercakap semula.
Menurutnya, terdapat beberapa kes lain membabitkan banduan yang terselamat daripada hukuman mati, namun semuanya berlaku kerana pegawai gagal memasukkan bahan suntikan ke dalam saluran darah.
“Dalam kes Pike, bahan toksik itu telah disuntik. Semua prosedur pelaksanaan telah dilakukan seperti yang dirancang, tetapi ia tidak berfungsi. Situasi seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Setakat ini, pihak berkuasa Tennessee belum memutuskan sama ada hukuman mati terhadap Pike akan dilaksanakan semula dan masih belum menjelaskan punca kegagalan prosedur itu.
Susulan insiden berkenaan, Gabenor Tennessee, Bill Lee, menggantung semua pelaksanaan hukuman mati di negeri itu bagi baki tahun ini, manakala ketua jabatan penjara negeri itu mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan.
Pakar bius yang menjadi penasihat kepada pasukan pembelaan Pike, Dr Joel Zivot, berkata peluang untuk seseorang terselamat selepas menerima suntikan maut adalah amat rendah.
“Kebanyakan individu yang menerima suntikan maut meninggal dunia. Malah hampir semua, kecuali Christa,” katanya.
Beliau berkata masih terdapat banyak persoalan yang belum terjawab, termasuk jumlah sebenar pentobarbital yang memasuki sistem badan Pike serta kesan jangka panjang terhadap kesihatannya.
Zivot sebelum ini menjelaskan dua dos pentobarbital yang diterima Pike sepatutnya mencukupi untuk menyebabkan kematian sekiranya ubat itu memasuki aliran darah secara normal.
Bagaimanapun, beliau berpendapat ubat berkenaan mungkin tidak memasuki saluran darah sepenuhnya, sebaliknya tersebar ke tisu di bawah kulit.
Menurutnya, kecederaan otak juga berkemungkinan berlaku susulan kelewatan usaha menyelamatkan nyawa, namun pemeriksaan neurologi yang lebih tepat hanya boleh dilakukan selepas kesan pentobarbital berkurangan sepenuhnya.
Peguam Pike sebelum ini memberi amaran bahawa sejarah perubatannya, termasuk masalah pembekuan darah serta saluran vena yang kecil, boleh menyebabkan wanita itu mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu semasa proses suntikan maut.
Mereka turut mendakwa Pike mengalami kerosakan serius pada kedua-dua lengannya akibat prosedur berkenaan.