Skip to main content

Dunia

Israel jadikan sumber air senjata untuk paksa penduduk Palestin berpindah - Pegawai

Ketua Pengarah Perancangan dan Dasar Palestin Adel Yasin berkata sejak pendudukan Israel pada Jun 1967, penduduk Palestin dihalang daripada membangunkan sumber air sendiri, manakala semua sumber air berada di bawah kawalan langsung Israel. -Gambar fail
Ketua Pengarah Perancangan dan Dasar Palestin Adel Yasin berkata sejak pendudukan Israel pada Jun 1967, penduduk Palestin dihalang daripada membangunkan sumber air sendiri, manakala semua sumber air berada di bawah kawalan langsung Israel. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penduduk Palestin berdepan kekurangan bekalan air bersih dan selamat yang serius apabila rejim Zionis terus memperketat kawalan terhadap sumber air di seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki, sekali gus menjadikan sekatan bekalan air sebagai strategi untuk memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Ketua Pengarah Perancangan dan Dasar Palestin Adel Yasin berkata sejak pendudukan Israel pada Jun 1967, penduduk Palestin dihalang daripada membangunkan sumber air sendiri, manakala semua sumber air berada di bawah kawalan langsung Israel.

"Penduduk Palestin hanya mendapat antara tiga hingga lima liter air minuman seorang sehari, berbanding kira-kira 100 liter yang diperlukan bagi setiap individu untuk menjalani kehidupan yang sihat berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata beliau dalam wawancara bersama BERNAMA TV dari Palestin baru-baru ini.

Advertisement

Adel yang juga jurucakap rasmi Pihak Berkuasa Air Palestin berkata berdasarkan laporan Bank Dunia dan PBB, kira-kira 90 peratus infrastruktur bekalan air di Gaza mengalami kerosakan menyeluruh sejak Oktober 2023.

Beliau berkata Israel turut menghalang kemasukan bahan penting seperti konkrit, bahan api dan keluli yang diperlukan untuk membina semula kemudahan bekalan air di Gaza.

Advertisement

Menurut beliau, keadaan di Tebing Barat juga semakin meruncing apabila rejim Israel kini turut menguasai sumber air bawah tanah.

"Penduduk Palestin terpaksa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki yang datang dari lokasi jauh, namun kaedah itu juga tidak selamat kerana mudah menjadi sasaran serangan tentera udara Israel," katanya.

Beliau berkata beberapa petugas Pihak Berkuasa Air Palestin turut terbunuh ketika menjalankan kerja penyelenggaraan atau membaiki kemudahan bekalan air.

Adel juga mendedahkan mengenai keadaan sebuah keluarga Palestin di Hebron hanya menerima bekalan air sekali setiap 60 hari pada musim panas dan 30 hari pada musim sejuk, sedangkan penempatan Israel di kawasan sama menikmati bekalan air sepanjang masa.

"Ini bermakna masalah berkenaan bukan berpunca daripada kekurangan sumber air secara semula jadi, sebaliknya krisis yang berpunca daripada tindakan manusia dan dikawal oleh Israel.

"Jelas sekali mereka menggunakan air sebagai senjata untuk memaksa penduduk Palestin berpindah," kata beliau. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement