Singapura melaporkan 48 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu sebanyak 56,908.

"Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat dua kes dalam komuniti, seorang merupakan penduduk tetap Singapura manakala seorang lagi pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan, di sini.

Kementerian itu memaklumkan terdapat lima kes import yang semuanya diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 913 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,220 sebagai kes dalam komuniti dan 53,727 melibatkan penghuni asrama.

Kementerian itu menyatakan sebanyak 41 kes telah dikeluarkan daripada jumlah kes yang disahkan kerana didapati negatif COVID-19 setelah siasatan lanjut.

Sebanyak 55,891 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Sementara itu, sebanyak 75 kes disahkan masih berada di hospital, tetapi tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 867 pesakit yang mempunyai gejala ringan, atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia kerana komplikasi akibat COVID-19 di republik itu.

Tiga kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu Changi Lodge II di Tanah Merah Coast Road, North Coast Lodge di North Coast Avenue dan Asrama Toh Guan di Toh Guan Road East.

-- BERNAMA