JEPUN melaporkan terdapat varian baharu COVID-19 yang dikesan pada empat pelancong yang tiba dari Brazil.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin berkata, strain baharu itu ‘sangat bermasalah’ dan barangkali akan membebankan hospital yang sudah berdepan dengan tekanan.


Apa yang kita tahu tentang varian baharu ini?

Pada 6 Januari lalu, Institut Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NIID) Jepun mengesan strain mutan COVID-19 ini pada empat pelancong yang tiba dari negeri Amazonas Brazil pada 2 Januari.

Pelancong lelaki berusia 40-an yang tidak menunjukkan sebarang simptom ketika tiba di Jepun, dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan.

Pelancong wanita berusia 30-an pula mengalami simptom sakit kerongkong dan sakit kepala manakala pelancong lelaki dalam lingkungan usia 10 ke 19 tahun pula mengalami demam.

Tidak ketinggalan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang berusia 10 tahun ke atas tidak mengalami sebarang gejala.

Varian virus yang dikesan di Jepun tergolong dalam strain B.1.1.248 dan mempunyai 12 mutasi dalam protein lonjakannya, kata NIID.

Strain mutan baharu ini mempunyai beberapa mutasi yang hampir sama dengan varian lain yang dilaporkan di United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan.

BACA: Varian baharu dikesan di Jepun, beza seperti di UK, Afrika

Memetik laporan Reuters pada Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Jepun berkata, kajian sedang dijalankan bagi menentukan keberkesanan vaksin terhadap varian baharu itu.


Bagaimana pula dengan strain yang dikesan di UK dan Afrika Selatan?

Pada 14 Disember lalu, pihak berkuasa kesihatan di United Kingdom (UK) melaporkan varian kepada WHO yang dikenali sebagai SARS-CoV-2 VOC 202012/01.

Bagaimanapun, ia tidak jelas bagaimana boleh berlakunya strain baharu itu namun penemuan awal mendapati, varian itu mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi.

UK berdepan cabaran untuk mengekang penularan virus berkenaan dengan kemudahan kesihatan yang sudah tertekan dengan penularan wabak itu.




Setakat 30 Disember 2020, varian VOC-202012/01 sudah dilaporkan di 31 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Sementara itu, pihak berkuasa di Afrika Selatan mengumumkan pengesanan varian 501Y.V2 pada 18 Disember lalu.

WHO berkata, strain baharu itu telah menggantikan virus SARS-CoV-2 yang menular di Cape timur, Cape barat dan KwaZulu-Natal pada pertengahan November.

Kajian awal menunjukkan kebolehjangkitan varian 501Y.V2 itu telah meningkatm namun, tiada bukti jelas yang menunjukkan bahawa ia mempunyai kaitan dengan hasil penyakit yang lebih buruk.

BACA: COVID-19: Varian Afrika Selatan lebih bahaya, sukar dikesan ujian saringan - Pakar

Setakat 30 Disember 2020, ia telah dilaporkan di empat negara lain.


Bagaimana situasi di Jepun?

Pada 7 Januari lalu, Jepun mengisytiharkan darurat selama satu bulan di Tokyo susulan peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan di ibu negara negara tersebut.

Setakat Selasa (12 Januari 2021), Jepun merekodkan 298,419 kes positif jangkitan COVID-19 dan 3962 angka kematian.