KERAJAAN pimpinan Konservatif Austria memberikan butiran perancangannya untuk mewajibkan vaksin COVID-19 ke atas individu berusia 14 tahun dan ke atas.

Austria juga merancang mengenakan denda kepada mereka yang ingkar sebanyak 3,600 Euro (RM17,000) setiap tiga bulan.

Sekitar 68 peratus penduduk Austria telah lengkap divaksin setakat ini dan ia salah satu negara di Eropah Barat yang mencatat kadar paling rendah.

"Kami bukan mahu menghukum mereka yang tidak divaksin. Kami mahu memenangi hati mereka dan meyakinkan mereka supaya menerima vaksin," kata Menteri Hal-ehwal Perlembagaan Karoline Edtstadler, pada satu sidang media pada Khamis.

Ramai rakyat Austria dilaporkan ragu-ragu dengan vaksin, ditambah dengan galakan oleh parti berhaluan kanan Freedom Party, yang ketiga terbesar di Parlimen.

Ketika jangkitan COVID-19 terus meningkat sejak tiga minggu lalu, kerajaan mengumumkan penutupan nasional buat kali keempat dan menyatakan hasrat mewajibkan pengambilan vaksin.

Ia bakal menjadi negara Kesatuan Eropah pertama mengambil tindakan sedemikian.

Namun, langkah yang dijadual dilaksana bermula Feb 2022 hingga Jan 2024 itu perlu mendapat kelulusan Parlimen. Setakat ini, dua parti pembangkang telah menyatakan sokongan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Wolfgang Mueckstein berkata, pengecualian akan diberi kepada wanita hamil dan mereka yang tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan.