LONDON:Kerajaan Britain sedang berkomunikasi dengan rangkaian perniagaan bagi memastikan langkah Brexit tidak menganggu rantaian bekalan.

Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Perniagaan Britain, Alok Sharma sebagai jawapan kepada persoalan mengenai impak Brexit terhadap pengedaran vaksin COVID-19 di masa depan.

Shama berkata rantaian bekalan jelas merupakan masalah di kebanyakan sektor dan menambah itu menjadi sebab kerajaan melabur ratusan juta pound daripada segi infrastruktur sempadan.

"Anda tahu, ini adalah masalah. Maksud saya, kita telah membincangkan mengenai vaksin, tetapi rantaian bekalan jelas merupakan masalah di banyak sektor.

“Tetapi itulah sebabnya mengapa kita telah melaburkan ratusan juta pound dari segi infrastruktur sempadan. Kita telah melabur untuk perantara kastam.

“Itulah sebabnya kita membuat usaha yang sangat besar untuk berkomunikasi dengan perniagaan bagi memastikan bahawa mereka sudah bersedia dan menyelesaikan pembayaran kastam,” katanya.

Tegasnya, tidak kira bagaimana bentuk hubungan masa depan Britain dengan Kesatuan Eropah, akan terdapat perubahan perniagaan dan perusahaan perlu bersedia.

Walaupun UK meninggalkan EU pada 31 Januari lepas, negara itu tetap berada dalam pasaran tunggal dan kastam bebas cukai blok berkenaan hingga akhir tahun ini.

Bagi memastikan kesepakatan dalam cabaran perundangan diselesaikan, perjanjian perlu segera dicapai dan kemungkinan akan diumumkan kelak.

Dalam pada itu, Sharma menegaskan penutupan seluruh negara akan tetap berakhir pada 2 Disember dan Britain akan kembali ke sekatan tiga peringkat.

Pada Khamis, UK merekodkan 22,500 kes baharu COVID-19.

Kerajaan menyatakan seramai 595 individu maut dalam masa 28 hari, yang tertinggi sejak Mei.