WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata bekalan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di AS adalah mencukupi menjelang minggu depan.

Jelas beliau, dos vaksin tersebut tersedia di 20,000 lokasi di seluruh negara.

BACA: COVID-19: Kanak-kanak 5-11 tahun di AS mula terima vaksin 

"Kita akan lakukan segala yang boleh agar vaksin ini mudah didapati dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapatkan vaksin.

"Oleh itu, ibu bapa kanak-kanak berumur lima tahun ke atas, sila dapatkan vaksin (untuk anak anda).

"Kerana ini sebabnya: Golongan kanak-kanak ialah satu perempat kes jangkitan di negara ini.

"Walaupun jarang berlaku, kanak-kanak boleh menjadi sangat terjejas akibat COVID-19.

"Mereka mungkin dimasukkan ke hospital, tetapi mereka tidak perlu jadi begitu.

"Vaksin ini selamat dan berkesan. Jadi berikan anak-anak vaksin untuk melindungi diri mereka, untuk melindungi orang lain, dan untuk menghentikan penyebaran dan membantu kami mengatasi pandemik ini," kata Biden.

AS mula memberikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak, sekali gus menjadi kumpulan terbaharu yang layak menerima suntikan bagi memberi perlindungan terhadap virus penyakit itu.

Biden mengisytiharkan hari permulaan vaksin kepada kanak-kanak kumpulan umur itu sebagai hari yang hebat dalam memerangi pandemik.

Tambah Biden, perluasan penerima vaksin adalah langkah penting yang akan mengurangkan kebimbangan ibu bapa tentang anak mereka yang tidak divaksinasi.

AS mempunyai kira-kira 28 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur berusia 5 hingga 11 tahun.

Pada Selasa, Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Dr Rochelle Walensky meluluskan vaksin untuk kanak-kanak selepas cadangan itu dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa penasihat mengenai amalan imunisasi agensi itu.