WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menasihatkan rakyatnya supaya tidak mengembara ke Perancis, Jordan, Portugal dan Tanzania susulan kebimbangan COVID-19.

CDC kini menyenaraikan 83 destinasi pada klasifikasi tahap 4 iaitu sangat tinggi dan menambah Andorra, Cyprus dan Liechtenstein ke tahap nasihat perjalanan tertinggi.

Amerika Syarikat mengenakan peraturan baharu, berkuat kuasa Isnin, mewajibkan pengembara udara antarabangsa yang tiba di negara itu negatif ujian COVID-19 dalam masa satu hari perjalanan.

Berkuat kuasa 29 November, White House menghalang hampir semua warga asing daripada memasuki Amerika Syarikat dari lapan negara selatan Afrika.

Ini susulan kebimbangan penularan varian Omicron.

Jurucakap White House, Jen Psaki berkata sekatan perjalanan ke selatan Afrika sedang dinilai dan dibincangkan setiap hari.

Sementara itu Perancis telah mengenal pasti 25 kes positif varian Omicron.