ORANG ramai mula beratur panjang di luar pusat vaksinasi di Bogota pada Rabu selepas Presiden Colombia Ivan Duque mengumumkan bahawa sela masa bagi dos penggalak COVID-19 akan dipendekkan.

Dalam satu pengumuman secara langsung, beliau berkata, individu yang berumur lebih 18 tahun serta telah mendapat kedua-dua dos vaksinasi, atau dos tunggal seperti vaksin Jansen, boleh mendapatkan dos penggalak dalam masa 4 bulan dan bukan lagi enam bulan.

Langkah baharu itu susulan peningkatan jumlah kes COVID-19 yang direkodkan semasa cuti umum baru-baru ini.

Menurut pihak berkuasa Colombia, varian Omicron membawa kepada peningkatan jangkitan di negara itu.

Bagaimanapun, dengan dorongan vaksinasi dalam negara, peningkatan itu tidak diterjemahkan kepada pertumbuhan eksponen dalam kematian atau kes di unit rawatan rapi.

Di Colombia, 76% daripada populasi telah menerima satu dos vaksin, 57% dengan dua dos dan 4 juta telah menerima dos penggalak mereka.

Varian Omicron merebak dengan lebih mudah berbanding strain koronavirus lain, dan kini dominan di banyak negara.

Ia juga lebih mudah menjangkiti mereka yang telah divaksinasi atau sebelum ini pernah dijangkiti varian lain sebelum Omicron.

Bagaimanapun, kajian awal menunjukkan varian itu berkemungkinan kurang menyebabkan bergejala serius berbanding varian delta sebelumnya.

Sementara itu, vaksinasi serta suntikan penggalak masih menawarkan perlindungan yang kuat daripada berlakunya kemasukan ke hospital dan kematian.