GLASGOW: United Kingdom (UK) mewajibkan semua kakitangan di bawah Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) UK dan sektor kesihatan negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19.

Meskipun berdepan kebimbangan langkah itu akan menyebabkan ramai yang berhenti kerja, Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid menegaskan ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan masyarakat umum ketika tempoh pandemik ini.

"Kita tahu vaksin ini berfungsi (dalam melawan COVID-19), kita juga tahu pesakit di hospital dan beberapa mereka di luar sana adalah antara orang paling terdedah dalam masyarakat kita dan sekiranya mereka terdedah ia boleh membawa maut. Ia sudah menjadi tugas kita untuk memastikan mereka selamat.

"Oleh itu, saya umumkan perkara ini kelmarin, iaitu dari April tahun hadapan, sekiranya anda bekerja dalam  Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) atau sektor kesihatan, anda perlu mendapatkan suntikan vaksinasi dan saya mahukan keputusan ini diterima positif oleh semua orang agar yang lain dapat bekerja dengan mereka," katanya.

Sehingga kini, seramai 90 peratus kakitangan NHS sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Masih berbaki 10,000 pekerja yang belum divaksinasi.

Secara keseluruhannya, UK merekodkan sebanyak 142,000 kes kematian akibat COVID-19, kedua tertinggi selepas Rusia.