Jumlah kumulatif kes positif global COVID-19 kini melepasi angka 36 juta apabila kira-kira 370,500 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu John Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.59 juta kes jangkitan.

Ini diikuti India dengan 6.84 juta kes, manakala Brazil merekodkan hampir 5 juta kes. 

Jangkitan COVID-19 di Rusia pula melepasi angka 1.2 juta kes.

Sementara itu, Colombia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan, Perancis dan United Kingdom (UK) melepasi angka setengah juta dengan 564,501 hingga 877,684 kes.

Chile, Iran, Iraq, Bangladesh dan Indonesia pula merekodkan jumlah kes di antara 300,000 dan 500,000 kes setakat ini.

Manakala Ukraine, Kanada, Ecuador dan Qatar pula merekodkan angka 100,000 hingga 200,000 kes.

Negara-negara lain masih merekodkan angka positif COVID-19 di bawah 100,000 kes.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Sementara itu, statistik yang sama menunjukkan jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 melebihi 1.06 juta kes.

AS terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 212,594 kes, diikuti Brazil dengan 148,228 kes.

Dalam pada itu, India dan Mexico masing-masing merekodkan 105,526 dan 82,726 kes.

United Kingdom (UK) pula menyaksikan 42,682 kematian.

Itali, Peru, Perancis dan Sepanyol pula berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes.

Negara-negara yang melebihi angka kematian lebih 20,000 adalah Iran, Colombia, Rusia dan Argentina.

Negara-negara lain masih merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.