Lebih 20,000 rakyat Amerika Syarikat dijangka terkorban akibat jangkitan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lagi.

Perkara itu didedahkan dalam satu laporan yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

CNN yang memetik laporan itu sebagai berkata, angka kematian akibat jangkitan itu yang kini mencecah 154,447 orang, dijangka melonjak kepada kira-kira 173,000 orang menjelang 22 Ogos ini.

Laporan CDC itu juga meramalkan jumlah kematian baharu meningkat di Alabama, Kentucky, New Jersey, Puerto Rico, Tennessee dan Washington.

Ekoran itu, para pemimpin dan pakar kesihatan menggesa penduduk setempat supaya mengelakkan daripada mengadakan perhimpunan sosial terutamanya melibatkan golongan muda yang dilihat sebagai pencetus penyebaran jangkitan ini.

Dalam pada itu, Gabenor Phil Murphy menyifatkan Amerika Syarikat kini berada dalam titik bahaya.

"Orang ramai masih berdegil untuk memakai pelitup muka ketika keluar ataupun menghadiri parti di rumah. Ini yang menyumbangkan kepada peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak.

"Kita perlu menghentikan tabiat ini," ujarnya.