SALAH satu antibodi yang digunakan untuk merawat Presiden Donald Trump yang dijangkiti COVID-19 baru-baru ini, dilaporkan diambil daripada sampel darah tiga pesakit di Singapura.

Menurut laporan Asian Scientist Magazine, REGN-COV2 merupakan kombinasi dua antibodi terhadap protein SARS-CoV-2 yang dibangunkan syarikat bioteknologi Regeneron yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Plasma daripada pesakit yang pulih daripada COVID-19 mungkin mengandungi antibodi yang boleh digunakan sama ada untuk menghindari atau merawat penyakit itu.

Walaupun Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika telah membenarkan penggunaan plasma itu untuk tujuan kecemasan, namun amat sukar untuk memperoleh darah yang mencukupi daripada pihak sukarelawan.

Ini bermaksud, penggunaan plasma masih tidak dapat diamalkan secara besar-besaran.

Sebaliknya, Regeneron menggunakan klon SARS-CoV-2 yang menggabungkan antibodi daripada tikus dan pesakit COVID-19 yang pulih untuk menghasilkan sumber antibodi monoklonal.

Pada 29 Sept lalu, Regeneron mengumumkan data positif daripada fasa pertama ujian klinikal ke atas 275 pesakit yang menunjukkan REGN-COV2 berjaya mengurangkan pengesanan virus dan simptom.

Kemudian pada 2 Oktober, Trump menerima terapi eksperimental itu dalam dos yang tinggi, walaupun masih belum diberikan kebenaran penggunaan untuk tujuan kecemasan.