Sejumlah 117 kes baharu COVID-19 dicatatkan di Singapura dalam tempoh 24 jam lepas dengan 13 daripadanya adalah kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 56,216.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan republik itu (MOH), kesemua kes import sudah diarahkan menjalani kuarantin di rumah sejak ketibaan mereka di Singapura.

Berdasarkan siasatan MOH setakat ini, ia berkata terdapat enam kes dalam komuniti.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 822 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,209 kes komuniti dan 53,068 sebagai kes penghuni asrama.

Sejumlah 53,119 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Sementara itu, 75 kes disahkan masih lagi di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi.

Sejumlah 2,878 pesakit yang bergejala ringan atau dari segi klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam dan dua kluster ditutup.

-- BERNAMA