Singapura mengesahkan 383 kes baharu jangkitan COVID-19, majoriti yang dijangkiti adalah pekerja asing yang tinggal di asrama, menjadikan jumlah jangkitan meningkat kepada 37,910 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata data pada tengah hari Ahad menunjukkan hanya 14 kes komuniti, 10 daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap dan empat pemegang pas pekerja.

MOH, dalam kenyataan, memaklumkan daripada 14 kes itu, sembilan disaring secara proaktif sebagai sebahagian daripada penemuan kes aktif untuk mengenal pasti kes awal dan mengasingkannya.

Daripada jumlah itu, enam daripadanya diambil selepas keputusan ujian doktor pada pertama kali terhadap kakitangan sekolah serta pelajar berusia 12 tahun ke atas yang didapati mengalami jangkitan pernafasan akut (ARI).

Bukti epidemiologi menunjukkan jangkitan tersebut berlaku ketika tempoh pemutus rantaian dan bukan ketika sekolah kembali dibuka, jelasnya.

"Tiga kes lain diuji kerana mereka mempunyai gejala ARI yang berpanjangan," menurut MOH, sambil menambah bahawa penyelidikan epidemiologi telah dijalankan untuk kes-kes yang masih ada.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan hari ini, Singapura mengklasifikasikan 1,729 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 35,218 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dua kluster baharu telah dikenal pasti semalam iaitu asrama di Beyond Tuas South Boulevard dan 10, Jalan Kwong Min.

Oleh kerana tidak ada lagi kes yang berkaitan dengan tapak pembinaan di 15 Serangoon North Avenue 1 dalam tempoh dua masa inkubasi iaitu 28 hari, kluster tersebut kini telah ditutup.

-- BERNAMA