SINGAPURA:Singapura pada laporan awalnya mengesahkan tambahan 23 kes baru jangkitan COVID-19 untuk tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan di republik itu kepada 57,765 kes.

"Mengikut siasatan kami sehingga kini, terdapat tiga lagi kes dalam komuniti di masa kesemua mereka merupakan pemegang pas kerja," menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam data ringkas dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu menyatakan, terdapat empat kes import yang kesemuanya telah dikenakan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

MOH menyatakan yang mereka masih lagi berusaha untuk mendapatkan butiran kes-kes dan maklumat yang dikemas kini akan dikeluarkan malam ini.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu menyatakan satu-satunya kes dalam komuniti yang dilaporkan semalam, melibatkan seorang lagi rakyat Malaysia.

Pemegang pas kerja berusia 21 tahun itu telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada dua kes komuniti yang dilaporkan pada Isnin yang juga merupakan rakyat Malaysia.

Sehingga 29 Sept, terdapat 888 kes melibatkan pemegang pas kerja di sini dan telah dikategorikan sebagai kes-kes komuniti.

Sehingga kini MOH telah mengklasifikasikan 1,061 kes yang telah dilaporkan sebagai kes import, 2,248 kes komuniti dan 54,433 melibatkan penghuni asrama pekerja asing.

Kementerian itu menyatakan, 57,466 kes telah pulih sepenuhnya dan 32 kes masih berada di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 217 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat namun masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga hari ini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Ketika tiada kluster baru dikenal pasti semalam, satu kluster berkait SLR Revolution di Pusat Beli Belah Excelsior telah ditutup, apabila tiada lagi kes baru dalam tempoh 28 hari.

-- BERNAMA