Singapura mengesahkan 123 jangkitan baharu COVID-19 dengan sebahagian besar masih melibatkan pekerja migran yang tinggal di asrama.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu hari ini, daripada jumlah itu, 11 adalah kes penularan dalam komuniti melibatkan lima warga Singapura atau pemastautin tetap, sementara enam lagi adalah pemegang pas kerja.

Selain itu, kementerian tersebut memaklumkan dua kes import yang telah diletak di bawah kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Susulan perkembangan terbaharu itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Singapura kini sebanyak 48,035.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 643 sebagai kes import, 2,119 kes penularan dalam komuniti dan 45,150 sebagai pekerja asing tinggal di asrama.

Setakat ini, 44,086 pesakit atau 92 peratus daripada jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 181 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan kebanyakan berada dalam keadaan stabil selain tiada kes di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,618 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasing dan dirawat di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini Singapura merekodkan 27 kematian akibat COVID-19. Tiada kluster baharu dikesan setakat semalam.

-- BERNAMA