Thailand mencatatkan sifar kes baharu tempatan COVID-19 bagi tempoh 45 berturut-turut, dan pihak berkuasanya sedang meningkatkan kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan pekerja asing secara haram, yang dijangka meningkat disebabkan permintaan tinggi selepas kerajaan Thailand membenarkan operasi pelbagai sektor perniagaan dalam negara disambung semula.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin menggesa para majikan supaya menggunakan saluran yang sah dalam pengambilan pekerja asing untuk bekerja dengan mereka, dalam usaha membendung penularan COVID-19.

"Beberapa pusat pemeriksaan akan dibangunkan bagi menyekat kehadiran pendatang tanpa izin daripada memasuki negara dalam usaha mengawal penularan COVID-19," katanya pada sesi taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Biro Imigresen Lt Jen Pol Sompong Chingduang berkata lebih 3,000 pendatang tanpa izin ditahan minggu lepas semasa cuba memasuki negara menerusi saluran yang tidak sah.

"Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha mengarahkan telah Jabatan imigresen dan agensi-agensi keselamatan lain untuk meningkatkan kawalan sempadan," katanya.

Thailand melaporkan lima kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, semuanya melibatkan rakyat Thailand yang baru kembali dari luar negara, dan sedang menjalani tempoh kuarantin 14 hari kawasan penginapan yang disediakan, menjadikan jumlah positif di negara itu kini menjangkau 3,202 kes.

Thaweesilp berkata tiada kematian dilaporkan dalam tempoh yang sama, menjadikan jumlah kematian kekal 58.

Beliau berkata empat daripada kes terbaru melibatkan pesakit berumur antara 38-54 tahun yang baru kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala satu lagi adalah pelajar berumur 22 tahun yang baru kembali dari Mesir.

Sehingga kini 3,085 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 59 lagi masih dirawat.

-- BERNAMA