Thailand melaporkan satu kes baharu COVID-19, seorang lelaki Thai yang baru pulang dari Kuwait, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat ini sebanyak 3,102 dengan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thaweesilp Wissanuyothin berkata lelaki berusia 45 tahun tersebut kembali ke Thailand pada 24 Mei dan menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan.

Dia disahkan positif COVID-19 menerusi ujian kali kedua.

"Setakat ini, seramai 165 warga Thai di pusat kuarantin kerajaan telah disahkan positif COVID-19, dan daripada jumlah itu, 31 merupakan mereka yang pulang dari Kuwai, iaitu paling ramai dalam kes jangkitan yang dikesan ketika kuarantin," katanya pada taklimat media harian COVID-19 pada Jumaat.

Sejak wabak itu dikesan di negara ini pada Januari, seramai 2,971 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 73 lagi masih dirawat.

Bagi merangsang pelancongan domestik untuk menghidupkan semula sektor yang terjejas teruk oleh pandemik itu, Thailand merancang melaksanakan pelan stimulus bermula Julai hingga Oktober.

Pelan itu merangkumi baucar, pemberian tunai dan tawaran istimewa bagi menggalakkan kira-kira 1.2 juta petugas perubatan dan sukarelawan kesihatan melancong.

Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) Yuthasak Supasorn berkata TAT akan menghantar usulnya kepada Kementerian Kewangan minggu depan.

Media tempatan melaporkan TAT mahu mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan bagi memberikan 3,000 baht kepada empat juta rakyatnya untuk melancong dalam negara, bertujuan membantu pengusaha pelancongan tempatan.

TAT menganggarkan bilangan pelawat asing ke Thailand merosot kepada 14 juta berbanding 39.8 juta pada tahun lepas berikutan penularan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA