LONDON: United Kingdom memperluaskan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 kepada golongan lebih muda berbanding 50 tahun ke atas sahaja sebelum ini.

Mereka berumur antara 40 hingga 49 tahun turut layak untuk menerima suntikan dos penggalak, sebagai langkah proaktif dalam menangani penularan COVID-19.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) memaklumkan kelayakan itu diberikan kepada golongan dalam lingkungan umur yang telah menerima vaksin lengkap enam bulan sebelum ini.

"Kami menyarankan hari ini agar program penggalak diperluaskan juga kepada mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun.

"Sepertimana sebelumnya, dos penggalak diberi enam bulan selepas dos kedua.

"Sama ada vaksin Pfizer-BioNTech atau Moderna boleh digunakan sebagai dos penggalak, tidak kira jenis vaksin yang diterima dalam dua dos utama." 

Dalam pada itu, JCVI juga mengesyorkan mereka yang berumur 16 dan 17 tahun yang mempunyai dos awal vaksin Pfizer BioNTech diberi dos kedua vaksin jenis yang sama.