KEMENTERIAN Kesihatan India mengumumkan vaksin COVID-19 mungkin mendapat lesen dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Serentak itu, ia membuat rancangan untuk memberi imunisasi kepada 300 juta rakyatnya.

Pegawai kesihatan berkata, syarikat pengeluar vaksin Serum Institute of India sudah memohon kelulusan bagi penggunaan kecemasan di India.

Serum Institute of India diberikan lesen untuk mengeluarkan vaksin AstraZeneca, Pfizer Inc. dan Bharat Biotech.

Pelan imunisasi awal India melibatkan tiga kumpulan yang diberikan keutamaan iaitu 10 juta kakitangan kesihatan, 20 juta petugas barisan hadapan dan 270 juta warga berusia 50 tahun ke atas atau kumpulan yang menghidap penyakit dan berisiko terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan negara itu menetapkan sasaran pada Ogos 2021 untuk memberikan imunisasi kepada rakyatnya.

Untuk rekod, populasi India mencecah hampir 1.4 bilion.

Menurut Setiausaha Kesihatan Persekutuan Rajesh Bhushan, India akan bergantung kepada program imunisasi sedia ada, yang merupakan antara terbesar di dunia.

Rajesh juga memberi jaminan vaksin COVID-19 akan diagihkan kepada semua rakyat di negara itu.