HO CHI MINH: Vietnam melaporkan jumlah kematian harian tertinggi akibat wabak COVID-19 sejak ia melanda negara itu.

Kementerian Kesihatan melaporkan 737 kematian direkodkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan kematian 8,277 kes.

Dalam masa yang sama sebanyak 11,000 kes baharu dikesan dengan kebanyakan kes di bandar Ho Chi Minh dan wilayah Binh Duong.

Susulan daripada itu, kerajaan mengenakan sekatan penutupan yang lebih ketat selama dua minggu bermula Isnin.

Penduduk di bandar Ho Chi Minh yang berpopulasi 10 juta diminta untuk terus kekal tinggal di rumah.

Pada hujung minggu, pasar raya dipenuhi orang ramai yang beratur untuk membeli barangan keperluan harian sebelum ia ditutup akibat sekatan.

Bandar itu telah ditutup sejak bulan Jun dengan perhimpunan awam dilarang dan hanya perniagaan penting dibenarkan beroperasi.

Vietnam ketika ini dilanda lonjakan kes baharu COVID-19 dan lebih daripada separuh negara ditutup untuk mengekang virus berkenaan.

Di bawah sekatan terbaharu, mereka yang tinggal di kawasan berisiko tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Kerajaan Vietnam menghantar pasukan ke kota Ho Chi Minh untuk membantu menyampaikan makanan dan bantuan kepada isi rumah.