HANOI: Vietnam akan menguatkuasakan sekatan pergerakan di bandar Delta Mekong, Can Tho selama 14 hari bermula hari ini.

Kerajaan Vietnam mengeluarkan arahan itu susulan peningkatan kes COVID-19 di daerah berkenaan yang telah memasuki fasa buruk.

Bandar dengan populasi 1.23 juta di wilayah selatan telah melaporkan tujuh jangkitan sejak seminggu lalu.

Selepas dianggap berjaya mengatasi virus itu tahun lepas, jangkitan di Vietnam mula meningkat sejak akhir April ke tahap tertinggi.

Kementerian Kesihatan melaporkan 1,953 kes jangkitan baharu pada Ahad dengan seminggu melebihi 1,000 kes.

Sebilangan besar kes direkodkan di bandar Ho Chi Minh.

Vietnam telah mencatatkan 29,816 jangkitan dan 116 kematian sejak bermulanya penularan wabak COVID-19, angka yang sangat rendah berbanding dengan beberapa negara Eropah, India dan Amerika Syarikat.

Negara itu sejak seminggu yang lalu mulai mengenakan sekatan pergerakan di bandar-bandar besar, termasuk pusat ekonomi Ho Chi Minh dan ibu kota Hanoi.