Singapura mengesahkan tambahan 18 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 57,532.

Berdasarkan siasatan setakat ini terdapat satu kes komuniti melibatkan seorang pemegang pas kerja, kata Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam data ringkas yang dikeluarkannya di sini hari ini.

Kementerian itu berkata sebanyak dua kes import diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

MOH berkata ia sedang meneliti perincian kes dan data yang dikemas kini dijangka dikeluarkan malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian itu mengklasifikasikan 1,003 kes dilaporkan sebagai kes import, 2,240 kes komuniti dan 54,271 melibatkan penghuni asrama.

Menurut kemeneterian itu, kes 57107 dikeluarkan daripada senarai jumlah kes selepas siasatan lanjut.

"Individu terbabit telah didapati negatif selepas dua kali saringan berikutan saringan awalnya didapati positif. Siasatan pakar makmal dan panel pakar mendapati keputusan ujian pertamanya yang positif adalah tidak sahih," jelasnya.

MOH juga berkata 56,955 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Setakat 12 tengah hari semalam, 42 kes disahkan masih lagi di hospital tetapi tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 490 pesakit yang bergejala ringan atau dari segi klinikal adalah sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 diasingkan dan dijaga di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia berikutan komplikasi COVID-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti setakat semalam.

-- BERNAMA