Singapura pada laporan awalnya hari ini mengesahkan tambahan 87 kes jangkitan COVID-19 baru dalam tempoh 24 jam lepas, dengan 14 daripadanya merupakan kes import.

Data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan, kesemua kes import melibatkan mereka yang diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di negara itu.

Kementerian itu menyatakan, tiada kes dalam komuniti manakala kes lain melibatkan mereka yang tinggal di asrama pekerja asing.

Dengan perkembangan terkini, jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti di republik itu meningkat kepada 57,316.

Dalam data penuh yang dikeluarkan semalam, republik itu mengklasifikasikan 960 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,233 kes komuniti dan 54,036 melibatkan mereka yang tinggal di asrama pekerja asing.

Sejumlah 56,558 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan 47 kes yang disahkan masih berada di hospital, tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu 597 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat namun masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik tersebut.

Dua kluster baru dikenal pasti semalam iaitu di 'Avery Lodge Dormitory' di 2D Jalan Papan dan 'PPT Lodge' 1A, 8 Seletar Noth Link.

-- BERNAMA