INTERNATIONAL
COVID-19: AS hantar 2 juta dos ubat anti-malaria ke Brazil

Rumah Putih mendakwa ubat anti-malaria itu akan digunakan sebagai profilaksis untuk membantu para profesional penjagaan kesihatan Brazil. - Foto INSTAGRAM@davepfit
Biarpun belum terbukti keberkesanannya melawan COVID-19, Amerika Syarikat (AS) tekad untuk mempromosi ubat anti-malaria, hydroxychloroquine (HCQ) dengan menghantar dua juta dos ke Brazil.
Menerusi kenyataan pada Ahad, Rumah Putih memaklumkan ubat anti-malaria itu akan digunakan sebagai profilaksis (pencegah) untuk membantu jururawat, doktor, dan profesional penjagaan kesihatan Brazil daripada serangan virus berkenaan.
“Ia juga akan digunakan sebagai terapi untuk merawat warga Brazil yang dijangkiti.
“Kami juga mengumumkan usaha penyelidikan bersama antara AS-Brazil yang akan merangkumi ujian klinikal terkawal secara rawak,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, sebanyak 1,000 buah ventilator bakal dihantar AS ke lokasi pusat wabak negara Amerika Selatan itu yang kini telah merekodkan lebih 500,000 kes jangkitan.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengakui dia mengambil HCQ walaupun negatif COVID-19.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan menggantung buat sementara waktu penggunaan hydroxychloroquine sebagai rawatan COVID-19 dalam kajian yang dilakukannya di peringkat global.
Jelasnya, memetik laporan jurnal perubatan Lancet, pesakit yang diberikan HCQ berdepan risiko kematian atau masalah jantung.
WHO malah turut menggesa Indonesia yang merupakan antara negara paling giat menyokong penggunaan ubat malaria agar menghentikan penggunaan ubat itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami