INDIA memulakan kempen vaksinasi COVID-19 peringkat nasional pada Sabtu, dengan keutamaan suntikan kepada petugas kesihatan.

Kerajaan itu mensasarkan untuk memvaksinasi 300 juta orang, termasuk 30 juta doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang lain.

Ini diikuti dengan 270 juta untuk golongan berumur 50 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik dan berisiko terhadap koronavirus.

Dos pertama diberikan kepada pekerja kesihatan di All Indian Institute of Medical Sciences di New Delhi sejurus Perdana Menteri Narendra Modi memulakan kempen itu.

Kira-kira 100 individu diberikan suntikan di setiap 3,006 pusat vaksinasi di seluruh India pada hari pertama kempen.

"Kita melancarkan program vaksinasi terbesar di dunia dan ini menunjukkan kepada dunia kemampuan kita," kata Modi.

Beliau meminta rakyat negara itu agar tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mempercayai khabar angin mengenai keselamatan vaksin tersebut.

Tidak dimaklumkan sama ada pemimpin berusia 70 tahun itu sendiri telah menerima vaksin atau tidak, seperti mana para pemimpin dunia lain, dalam usaha membuktikan keselamatan suntikan itu.

Sebelum ini, kerajaan India mengatakan, ahli politik tidak akan dianggap sebagai kumpulan yang diberi keutamaan pada fasa pertama pelancaran.

BACA: Pekerja pembersihan orang pertama terima vaksin COVID-19 di India 

Vaksin COVID-19 | India lancar program vaksin terbesar - Modi

Pada 4 Jan lalu, India memberikan kelulusan penggunaan kecemasan dua vaksin, iaitu keluaran AstraZeneca dan syarikat tempatan Bharat Biotech.

Minggu lepas pesawat kargo menerbangkan 16.5 juta suntikan dos kepada beberapa bandar raya di India.

India berada di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat dari segi jumlah kes COVID-19, iaitu sebanyak 10.5 juta, dan berada di kedudukan ketiga dunia dalam jumlah kematian, iaitu 152,000 kes.