JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 global kini melebihi 130 juta.

Ini berikutan pertambahan lebih 600 ribu kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan lebih 30.66 juta kes.

Ini diikuti Brazil dan India dengan masing-masing merekodkan 12.91 juta kes dan 12.39 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 4 juta kes ialah Perancis, Rusia dan United Kingdom (UK) manakala Itali, Turki dan Sepanyol pula catat kes melebihi 3 juta.

Jerman, Colombia, Poland, Argentina dan Mexico dalam pada itu mencatat lebih 2 juta kes.

Iran, Ukraine, Peru, Afrika Selatan dan Indonesia antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Kanada, Romania, Belgium dan Iraq pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 300,000 kes.

Sementara itu, angka kematian turut mencatatkan peningkatan akibat COVID-19 di seluruh dunia.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kini melebihi 2.84 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 554,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 328,000 kes, Mexico lebih 203,000 kes, manakala India dan UK pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Colombia.

Ini termasuk Iran, Argentina, Afrika Selatan, Poland dan Peru.

Manakala negara yang mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian ialah Indonesia, Ukraine dan Turki.

Selain itu, Romania, Chile, Belgium, dan Hungary pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.