JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 130 juta.

Ini berikutan pertambahan lebih 700,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling terjejas dengan lebih 30.59 juta kes.

Ini diikuti Brazil dan India dengan masing-masing merekodkan 12.83 juta kes dan 12.30 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 4 juta kes ialah Perancis, Rusia dan United Kingdom, manakala Itali, Turki dan Sepanyol catat angka lebih 3 juta.

Jerman, Colombia, Poland, Argentina dan Mexico mencatat lebih 2 juta kes.

Iran, Ukraine, Peru, Afrika Selatan dan Indonesia pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Kanada, Romania, Belgium dan Iraq pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 300,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia turut mencatatkan peningkatan.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kini melebihi 2.83 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 553,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 325,000 kes, Mexico, lebih 203,000 kes manakala India dan United Kingdom pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Colombia.

Ini termasuk Iran, Argentina, Afrika Selatan, Poland dan Peru.

Manakala negara yang mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian ialah Indonesia, Ukraine dan Turki.

Selain itu Romania, Chile, Belgium, dan Hungary pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.