LONDON:Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock mengambil kepitusan untuk mengasingkan diri secara sukarela bermula Selasa.

Beliau bertindak menjalankan kuarantin kendiri itu selepas mendapat notifikasi daripada aplikasi pengesanan kontak nasional bahawa beliau merupakan kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

“Malam semalam saya diberi amaran oleh aplikasi NHS COVID-19 untuk menjalankan pengasingan diri, oleh itu saya akan kekal di rumah dan tidak akan ke mana-mana sehingga Ahad.

"Kami harus mematuhi peraturan, saya tidak terkecuali. Dengan patuh kepada peraturan yang ditetapkan, bersama-sama kami mampu memerangi virus ini," kata Ahli Parlimen West Suffolk itu di laman Twitter rasminya, pada Selasa.


Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa tindakan mengasingkan diri adalah sangat penting selain penjarakan fizikal bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dalam perkembangan sama, Hancock bakal melakukan tugas dari rumah selama enam hari, tempoh yang selari dengan arahan aplikasi NSH.

Hancock pernah diuji positif COVID-19 pada Mac lalu dan mengumumkan keadaannya sejurus sahaja Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan beliau positif virus tersebut.